Saturday, May 16, 2009

Isu biasiswa bukan perkauman

Isu biasiswa bukan perkauman

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kelantangan MCA memperjuangkan isu biasiswa bagi pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara, tidak langsung berlandaskan aspek perkauman.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, perjuangan parti itu kini bersandarkan kepada konsep 'Satu Malaysia' yang dilihat mampu memberi ruang kepada pelajar terbaik untuk maju.

"Ini bukan soal bumiputera atau tidak. Jika ada anak Melayu yang memperolehi keputusan 13A1 dan tidak ditawarkan tempat ke luar negara, ia juga akan menjadi isu yang perlu dibincangkan.

"Sama juga seperti kaum-kaum lain di negara ini. Perjuangan kami adalah berteraskan konsep Satu Malaysia tanpa mempertimbangkan sesuatu isu daripada perspektif yang sempit," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pengiraan detik pelancaran Pesta Buku Antarabangsa 'Read Malaysia' 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Penganjur Read Malaysia 2009, Tan Sri Lee Kim Yew.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat baru-baru ini yang mendakwa kerajaan akan menilai semula kriteria pemilihan bagi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ka Siong menambah, bagi menyelesaikan isu terbabit, satu mekanisme mengenai pemilihan pelajar yang layak perlu diwujudkan bagi meyakinkan masyarakat di negara ini.

"Pada 2007, terdapat satu dasar diluluskan berkaitan pemberian biasiswa kepada pelajar dari keluarga berpendapatan kurang RM1,500 dan mendapat keputusan 10A ke atas. Mereka ini akan diberikan biasiswa secara automatik.

"Tetapi tahun ini keadaan mungkin telah berubah. MCA menerima banyak aduan mengenai perkara ini dan ia akan diperhalusi satu-persatu. Berdasarkan aduan, pelajar cemerlang yang gagal mendapat tawaran tahun ini agak ramai," jelasnya.

Sementara itu, Ka Siong turut menyarankan ibu bapa di negara ini agar menggalakkan anak-anak mereka mempelbagaikan bahan bacaan.

Menurut beliau, lazimnya ibu bapa hanya membelikan buku-buku yang mempunyai soalan peperiksaan tahun lalu atau berkaitan akademik kepada anak masing-masing.

"Anak-anak kita perlu didedahkan dengan pelbagai bentuk bahan bacaan agar mereka mempunyai pengetahuan yang luas serta mampu menguasai ilmu pengetahuan lain seperti kesusasteraan dan falsafah.

"Kewujudan banyak pesta buku mampu memberikan impak positif. Ibu bapa mungkin boleh menerapkan rasa seronok di jiwa anak-anak untuk menghadiri pesta buku menjelang cuti sekolah," katanya.

No comments:

Post a Comment