Saturday, May 23, 2009

Jangan khianati bangsa - BBPM

Jangan khianati bangsa - BBPM

KUALA LUMPUR 22 Mei - Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) menyifatkan mana-mana graduan atau usahawan yang tidak membayar balik pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebagai mengkhianati bangsa sendiri.

Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar berkata, perbuatan itu akan mengganggu usaha kerajaan untuk membantu masyarakat bumiputera terutama sewaktu kegawatan ekonomi global.

"Bagi yang sudah berjaya dalam pelajaran dan perniagaan mereka wajib membayar balik apa yang telah dipinjam, jangan mengkhianati bangsa.

"Mereka mesti sedar dan bertanggungjawab kerana tuntutan membayar hutang itu tidak akan gugur sehingga akhirat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas jaminan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa Mara akan terus membantu bumiputera walaupun diletakkan di bawah kementerian baru.

Sebagai bukti, katanya, Mara telah meluluskan penajaan baru kepada 1,300 pelajar bumiputera selain mengagihkan RM175 juta kepada 4,327 peniaga bumiputera pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Osman berkata, pembiayaan Mara merupakan satu pelaburan jangka panjang kerajaan untuk membangunkan masyarakat bumiputera.

Sehubungan itu, katanya, tanggungjawab untuk memastikan bantuan sedemikian dapat diteruskan turut dipikul oleh para peminjam yang telah berjaya.

"Bukannya setelah menerima bantuan dan berjaya dalam kehidupan mereka buat-buat lupa pula.

"Mentaliti sedemikian wajib diubah kerana kerajaan sekarang adalah kerajaan kita, janganlah membantutkan perancangan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment