Friday, May 15, 2009

Buah keriang dot semakin pupus

Buah keriang dot semakin pupus

JERLUN 14 Mei - Bagi mereka yang tinggal di kawasan kampung di utara tanah air pasti mengenali buah keriang dot yang mempunyai bentuk yang hampir sama dengan buah anggur.

Jika dahulu pokok keriang dot mudah didapati di kawasan hutan dan pinggir kampung namun kini buah ini semakin sukar diperoleh.

Mungkin juga generasi masa kini tidak lagi mengenali pokok dan buah keriang dot kerana pokoknya semakin pupus.

Pokok keriang dot hanya berbuah sekali dalam setahun sekitar bulan April hingga Mei dan buahnya akan bertukar menjadi warna hitam apabila benar-benar masak serta meninggalkan kesan berwarna hitam pada lidah apabila dimakan.

Buah ini mempunyai rasa sedikit kelat namun manis apabila benar-benar masak dan kaya dengan khasiat daripada segi perubatan.

Ibrahim Mansur, 51, berkata, pokok keriang dot di halaman rumahnya sudah berusia hampir 20 tahun.

"Ayah saya yang menanam pokok ini dan kami memang tertunggu-tunggu apabila tiba musim buah keriang dot.

"Rasanya yang unik dan jarang ditemui menyebabkan rumah saya menjadi tumpuan apabila tiba musim buah ini," ujarnya ketika ditemui di Kampung Tempayan Pecah di sini baru-baru ini.

Menurut Ibrahim, anak-anak kecil di kampung lebih mengenali buah ini dengan nama 'anggur Malaysia' kerana gugusan buah keriang yang masak kelihatan sama dengan buah anggur.

Katanya, selain mempunyai rasa yang enak buah ini juga berkesan bagi membantu pesakit kencing manis mengurangkan kadar gula dalam darah mereka.

"Bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis, mereka tidak perlu bimbang untuk menjamah buah ini kerana ia tidak mempunyai kesan yang buruk bagi penghidap penyakit ini.

"Biji buah keriang dot juga boleh dikeringkan, ditumbuk dan dibancuh dengan air panas untuk diminum," jelasnya.

Ibrahim menambah, buah keriang dot semakin sukar diperoleh kerana pokok keriang semakin pupus.

"Buah ini mempunyai khasiat daripada segi perubatan dan buah ini boleh dikomersialkan jika kajian saintifik mengenai khasiatnya dijalankan secara menyeluruh.

"Saya amat mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu menjalankan kajian bagi mengetahui rahsia di sebalik buah keriang dot," ujarnya.

No comments:

Post a Comment