Thursday, May 14, 2009

Bapa Nurin mohon hakim tentukan siapa bersalah

Bapa Nurin mohon hakim tentukan siapa bersalah
Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my

Tuntutan babit kes penyebaran gambar bedah siasat anak

KUALA LUMPUR: Bapa kepada Nurin Jazlin, kanak-kanak yang diculik dan dibunuh dengan kejam dua tahun lalu, membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini, semalam, untuk memutuskan sama ada Ketua Polis Negara dan tiga pihak lain bertanggungjawab terhadap penyebaran gambar bedah siasat anaknya melalui internet.

Jazimin Abdul Jalil, 35, memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Akberdin & Co, selepas Ketua Polis Negara dan tiga lagi defendan, mengaku dalam pernyataan pembelaan mereka seorang anggota polis, Lans Koperal Amran Arifin membawa balik draf dan lebihan laporan bedah siasat Nurin ke rumahnya.

Jazimin berkata, oleh kerana defendan sudah membuat pengakuan, mahkamah tidak perlu membicarakan kes itu lagi dan hanya perlu memutuskan sama ada defendan perlu memberikan pampasan atau ganti rugi kepadanya.

"Gambar itu bukan untuk tatapan umum dan ia dokumen sulit yang sepatutnya berada dalam kawalan defendan untuk digunakan bagi menjalankan siasatan dalam kes penculikan dan pembunuhan Nurin, bukannya untuk tatapan umum.

"Defendan jelas sudah memalukan saya dan keluarga, selain memberikan impak yang amat dahsyat terhadap emosi kami selepas kehilangan anak kami yang masih kecil," katanya dalam permohonan itu.

Pada 21 Ogos 2008, Jazimin memfailkan saman kecuaian terhadap Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia.

Pada 5 Disember 2008, defendan dalam pernyataan pembelaannya mengakui gambar disiarkan melalui internet itu gambar bedah siasat Nurin, tetapi mendakwa kejadian itu berlaku di luar kawalan dan jangkaan mereka.

Defendan juga menafikan bertanggungjawab terhadap perbuatan Amran yang menyebabkan penyebaran gambar itu.

Defendan berkata, Amran menunjukkan laporan itu kepada jirannya yang ketika itu berada bersama saudara-maranya serta tanpa pengetahuan Amran, mereka merakam gambar sebelum disebarkan melalui internet.

Nurin, 8, murid Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.




Sebar gambar bedah siasat Nurin

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 13 Mei - Bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil telah mengemukakan permohonan agar Mahkamah Tinggi di sini menentukan sama ada Ketua Polis Negara dan tiga yang lain bertanggungjawab terhadap dakwaan kecuaian seorang anggota polis yang menyebabkan penyebaran gambar bedah siasat anaknya.

Permohonan itu dikemukakan setelah keempat-empat mereka selaku defendan dalam pernyataan pembelaan mereka mengaku bahawa Lans Koperal Amran Arifin yang telah menyebabkan penyebaran gambar tersebut melalui telefon bimbit dan Internet.

Meskipun begitu, pihak defendan mendakwa, mereka tidak bertanggungjawab dengan penyebaran gambar tersebut kerana anggota polis itu melakukannya secara peribadi dan tiada kaitan dengan bidang pekerjaan atau tugasnya.

Perkara itu dinyatakan oleh Jazimin dalam permohonannya bagi mendapatkan penghakiman ringkas supaya mahkamah memutuskan isu undang-undang tersebut berdasarkan kepada pengakuan pihak defendan dalam kes samannya terhadap mereka.

Permohonan tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Akberdin & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam. Jazimin, 35, turut memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.

Dalam permohonan itu, Jazimin menyatakan, sekiranya mahkamah membuat keputusan menyebelahinya, kes itu tidak perlu dibicarakan dan pihak mahkamah akan menentukan taksiran ganti rugi yang akan dibayar oleh pihak defendan.

Pada 21 Ogos tahun lalu, Jazimin selaku plaintif telah menyaman keempat-empat mereka bagi menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan penyebaran gambar bedah siasat Nurin.

Dia menamakan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Petaling Jaya dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga defendan keempat.

Dalam pernyataan pembelaan pihak defendan bertarikh 5 Disember 2008, mereka menyatakan, gambar-gambar tersebut dirakamkan oleh anggota polis semasa bedah siasat Nurin dijalankan bagi tujuan penyiasatan.

Dakwa defendan, Amran yang bertugas sebagai anggota bawahan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Negeri telah diarahkan memusnahkan draf atau lebihan laporan yang mengandungi gambar-gambar bedah siasat itu.

Bagaimanapun, anggota polis itu didakwa tidak mematuhi arahan itu sebaliknya telah membawa balik laporan tersebut ke rumahnya dan menunjukkan kepada jirannya.

''Tanpa pengetahuan Lans Koperal Amran, gambar-gambar dalam laporan tersebut telah dirakamkan oleh saudara mara jirannya sehingga menyebabkan ia telah disebarkan melalui telefon berkamera dan Internet,'' dakwa defendan.

Sehubungan itu, pihak defendan mendakwa, tindakan Amran membawa balik laporan itu adalah berasaskan motif beliau secara peribadi yang tiada kaitan dengan skop pekerjaan atau tugasnya.

Sambil menafikan mereka melakukan kecuaian, pihak defendan turut mendakwa mereka tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab terhadap kejadian itu kerana ia berlaku di luar kawalan dan jangkaan mereka.

Jazimin dalam pernyataan tuntutannya mendakwa penyebaran gambar tersebut telah menganggu ketenteraman dan maruah keluarganya serta memberi kesan yang amat dahsyat terhadap emosi dan perasaan mereka sekeluarga.

Nurin yang berusia lapan tahun dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju sebelum mayatnya dijumpai pada 17 September 2007 iaitu selepas 27 hari kehilangannya.

No comments:

Post a Comment