Monday, May 18, 2009

'Majlis Peguam patut hormati tindakan polis'

'Majlis Peguam patut hormati tindakan polis'
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
bhnews@bharian.com.my

Fail saman dianggap usaha sekat penguat kuasa jalan tugas

KUALA KANGSAR: Langkah Majlis Peguam untuk memfailkan saman berhubung penahanan lima peguam dari Biro Bantuan Guaman pada 7 Mei lalu adalah satu usaha menakut-nakutkan badan penguatkuasaan daripada menjalankan tugas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata tindakan itu menunjukkan pengamal undang-undang sendiri mahu meruntuhkan sistem perundangan negara.

Kelima-lima peguam itu termasuk pengerusi bironya, Ravinder Singh Dhalliwal ditahan di Balai Polis Brickfields selepas tidak dibenarkan berjumpa sejumlah 14 anak guam mereka.

Anak guam mereka ditahan kerana terbabit dalam perhimpunan membantah penahanan aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, yang dikatakan terbabit dalam kempen memakai baju hitam menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana mengeluarkan kenyataan berbau hasutan.

"Majlis Peguam sepatutnya menjadi sebuah badan contoh dan menghormati tindakan polis menguatkuasakan undang-undang walaupun ada di kalangan ahli majlis itu yang melanggar undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Padang Rengas di Sekolah Kebangsaan Temenggong (SKT), Kati dekat sini, semalam.

"Kita ada sistem mahkamah. Biarlah mahkamah putuskan sama ada mereka (lima peguam) bersalah atau tidak," katanya.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam kelmarin yang antara lain bersetuju memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, pegawai penyiasat dan pihak kerajaan selain mendesak Musa dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammud-din Hussein meletak jawatan.

Semalam, Presiden Majlis Peguam, K Ragunath, berkata lima peguam terbabit iaitu Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman, Ravinder Singh dan Murnie Hidayah Anuar hanya terbabit dalam memberi khidmat guaman.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri, menegaskan penyelesaian krisis politik di negeri itu mesti dibuat menerusi sistem mahkamah kerana mahkamah mempunyai kuasa untuk mentafsir Undang-undang Tubuh Negeri Perak bagi menentukan kerajaan BN diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai kerajaan yang sah.

"Jika minggu depan mahkamah putus Dr Zambry Menteri Besar, Zambrylah Menteri Besar. Ini bukan soal menidakkan hak rakyat Perak. Ini soal interprestasi," katanya.

"Hari itu Mahkamah Tinggi kata Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) kekal Menteri Besar, kita terima dan kita buat rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan.

"Jika Mahkamah Rayuan nanti buat keputusan, kita tak puas hati, kita merayu ke Mahkamah Persekutuan. Ini proses undang-undang, kita ikutlah.

"Berapa lama? Selama mana mereka hendak menggunakan sistem mahkamah untuk menentukan kerajaan," katanya.

Mohamed Nazri berkata, pilihan raya semula juga tidak perlu kerana Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah menolak permohonan pembubaran DUN oleh bekas Menteri Besar, Mohammad
Nizar pada awal Februari lalu.

Katanya, pembubaran DUN juga tidak boleh dilakukan atas permintaan parti minoriti dalam DUN, iaitu gabungan DAP, PKR dan Pas.

"Kalau buat pilihan raya, saya fikir akan jadi pilihan raya yang cukup perkauman. Kita kena elak rakyat daripada dipecah-belahkan kerana kempen pilihan raya yang sudah tentu menjadi perkauman," katanya.




Majlis Peguam tidak sensitif keselamatan negara - Abu Zahar

KUALA LUMPUR 17 Mei - Tindakan Majlis Peguam mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan disifatkan sebagai tidak sensitif dengan keselamatan negara.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan, gesaan Majlis Peguam itu adalah keterlaluan seolah-olah badan berkenaan tunduk kepada golongan peguam tertentu.

"Gesaan Majlis Peguam itu adalah terburu-buru, keanak-anakan dan amat tidak bijak yang dilakukan sebuah badan mulia.

"Janganlah bersikap sedemikian sekiranya hanya mahu memuaskan hati sesetengah peguam tertentu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Majlis Peguam mengadakan mesyuarat tergempar (EGM) berhubung isu penahanan lima orang peguam Biro Bantuan Guaman di Balai Polis Brickfields di sini pada 7 Mei lalu.

Hasil mesyuarat itu, Majlis Peguam meminta Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan kerana tindakan polis menyuraikan perhimpunan berkenaan didakwa melanggar hak seseorang mendapatkan khidmat guaman.

Lima peguam itu mendakwa mahu berjumpa dengan 14 anak guam yang ditahan, bagaimanapun difahamkan disertai oleh beberapa individu lain sehingga memaksa polis menyuraikan perhimpunan haram di hadapan balai berkenaan dan menahan mereka.

Abu Zahar menambah, tidak ada mana-mana pihak termasuk polis dan peguam yang terkecuali serta kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.

Beliau yakin polis mempunyai sebab kukuh untuk menahan peguam tersebut sekiranya tindakan mereka boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan pula meminta Hishammuddin dan Musa mengkaji semula klip video penahanan peguam berkenaan yang boleh dilayari di laman-laman web.

Beliau menegaskan, tindakan polis menahan peguam berkenaan adalah salah serta merupakan satu tindakan yang melampaui profesion kepolisan.

"Jika peguam tidak kebal daripada tindakan undang-undang, pihak polis juga begitu," katanya

No comments:

Post a Comment